BPKINI

Suami Meninggal Berganti Anak Baru Lahir di Kajang

Malaysia Jun 27, 2021

Allahu... Nyawa 'diganti' nyawa

Siapa sangka dalam sehari dia menerima khabar duka dan gembira serentak namun perancangan Allah mengatasi segala-galanya.

26 Jun 2021

Kuala Lumpur: Siapa sangka dalam sehari dia menerima khabar duka dan gembira serentak namun perancangan Allah mengatasi segala-galanya.

Namun, Siti Azimah Tajudin, 31, reda ketentuan Ilahi apabila suaminya, Shahrol Amri Sanusi, 31, meninggal dunia jam 8 pagi, 18 Jun lalu dipercayai akibat serangan jantung.

Namun terselit sedikit pengubat dukanya apabila anak ketujuh Siti Nur Aisyatull Humaira lahir beberapa jam selepas suami disahkan meninggal di rumah mereka di Kampung Sungai Ramal Dalam, Kajang.

Lebih pilu, nama anak perempuannya itu adalah pilihan arwah dan 'hadiah' terakhir untuk Siti Azimah.

"Saya sebenarnya masih terkejut dengan pemergian suami secara tiba-tiba.

"Sebelum ini suami tidak pernah mengadu sakit dan sekali-sekala memberitahu hanya penat, malah ketika kejadian arwah sempat menunaikan solat Subuh seperti kebiasaan.

"Pada jam 8 pagi, arwah bangun daripada tidur dan seperti sesak nafas sebelum saya segera menghubungi ambulans," kata ibu kepada tujuh anak ini.

Dia yang berasal dari Kelantan berkata, setibanya ambulans di rumah mereka, pegawai perubatan mengesahkan suami sudah tidak bernyawa jam 8.30 pagi.

"Saya terkejut dan terpinga-pinga dengan kematian suami secara tiba-tiba.

"Selepas menghantar jenazah suami ke Hospital Kajang untuk bedah siasat pada jam 6 petang saya sudah rasa sakit untuk bersalin.

"Sepatutnya saya dijangka bersalin pada 28 Jun ini, tapi takdir Allah saya melahirkan anak beberapa jam selepas kematian suami iaitu 12.09 tengah malam di Hospital Serdang," katanya.

SITI Azimah nekad memastikan kelangsungan hidup anak-anaknya.‌‌Siti Azimah mengakui suami tidak menunjukkan sebarang petanda untuk meninggalkannya.

"Saya tak perasan sangat, cuma arwah suami ada kata dua tiga hari sebelum ini saya ada sakit-sakit (nak bersalin).

"Arwah cakaplah mungkin baby kami nak keluar hari Jumaat, tetapi saya tak sangka hari sama dia (suami) yang pergi," katanya yang juga seorang suri rumah.

Akuinya, pemergian suami dan kelahiran anaknya ibarat Allah menarik satu nyawa dan menggantikan anaknya dengan nyawa baru.

"Mungkin boleh mengubat kelukaan saya, tetapi saya tetap merindui suami yang baik untuk saya dan anak-anak," katanya.

Katanya, arwah bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah mahkamah syariah.

"Jenazah suami dikebumikan pada jam 2 petang, 19 Jun lalu di tanah perkuburan Kampung Sungai Ramal Dalam.

"Saya tidak sempat melihat jenazah suami dan menguruskan pengebumian kerana baru melahirkan anak," katanya.

Siti Azimah berkata, tujuh anaknya berusia 12, 10, 8, 5, 2, setahun dan enam hari akan dijaga sebaiknya.

"Ada pihak menghubungi saya untuk mengambil anak namun tidak sesekali saya menyerahkan mereka.

"Saya nekad jaga mereka walaupun tiada punca pendapatan, saya akan cuba berniaga secara atas talian demi kelangsungan hidup," katanya.

Mereka yang ingin menghulurkan sumbangan kepada Siti Azimah boleh menyalurkan ke akaun CIMB 7065548933 (Siti Azimah Tajudin).

Tags

BPKINI