Sedih... Ibu Terpaksa Dakap Jenazah Anak 3 Bulan Semalaman Kerana Dihimpit Kesempitan Sebelum Disedari Badan Amal
Remuk hati seorang ibu apabila terpaksa menunggu semalaman untuk menguruskan jenazah bayi lelakinya yang berusia tiga bulan kerana kesempitan hidup.
Dia hanya mampu mendakap bayi itu sejak malam tadi yang meninggal dunia akibat demam panas.
Kejadian itu berlaku di sebuah rumah setinggan Kampung Bangau-Bangau, Semporna, Sabah dan disedari seorang sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO) tempatan, Rumah Ngaji.
Pengasas Rumah Ngaji, Laili Basir berkata, pihaknya dengan bantuan tiga ustaz kampung membantu menguruskan jenazah bayi berkenaan.
"Ibunya tinggal menumpang di rumah itu bersama seorang lagi anak perempuannya berumur dua tahun.
"Kejadian disedari seorang sukarelawan kita yang lalu di situ dan melihat ibu berkenaan menangis, bila ditanya dia memaklumkan bayinya sudah meninggal dan dia tidak mampu menguruskannya kerana tidak ada apa-apa," katanya kepada Harian Metro.
Laili berkata, pihaknya segera menguruskan bayi berkenaan dan selamat dikebumikan jam 1.30 tengah hari.
Katanya, ibu berkenaan masih dalam keadaan trauma dan difahamkan dia meminta bantuan daripada beberapa orang sebelum kejadian itu.