PPV Parit Raja Tutup Sementara Hingga 28 Jun, Vaksin BP Bawah Kapasiti?

𝐊𝐞𝐧𝐚𝐩𝐚 𝐏𝐏𝐕 𝐝𝐢 𝐝𝐚𝐞𝐫𝐚𝐡 𝐁𝐚𝐭𝐮 𝐏𝐚𝐡𝐚𝐭 𝐛𝐞𝐫𝐨𝐩𝐞𝐫𝐚𝐬𝐢 𝐝𝐢 𝐛𝐚𝐰𝐚𝐡 𝐤𝐚𝐩𝐚𝐬𝐢𝐭𝐢?

Pada mulanya, terdapat satu sahaja pusat pemberian vaksin (PPV) di daerah Batu Pahat, iaitu di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim Batu Pahat dengan 90 orang petugas yang mempunyai kapasiti untuk memberi 1,400 dos vaksin setiap hari.

PPV kedua di Dewan Orang Ramai Parit Raja yang mempunyai melebihi 80 orang petugas dengan kapasiti 1,200 dos sehari juga mula beroperasi pada 6 Jun 2021.

Malah, PPV hospital swasta di Hospital Pakar Putra, Hospital KPJ dan Hospital Pantai juga telah mula beroperasi. Ketiga-tiga hospital ini terletak di Batu Pahat.

Sepatutnya dengan tambahan PPV, jumlah pemberian vaksin meningkat dan warga daerah Batu Pahat termasuk mereka dari Yong Peng, Ayer Hitam, dan pekan-pekan yang lain dimanfaatkan dan imuniti kelompok dicapai secepat mungkin.

Walau bagaimanapun, ini tidak berlaku seperti yang diinginkan. Berdasarkan maklumat yang diperolehi, kadar vaksinasi di daerah Batu Pahat mula menurun.

Misalnya, temujanji yang ditetapkan oleh CITF di Dewan Jubli Intan Batu Pahat pada 20 Jun adalah lebih kurang 300 dos manakala hanya lebih kurang 100 temujanji diterima di Dewan Orang Ramai Parit Raja pada hari yang sama. Kedua-dua PPV ini mampu memvaksinkan melebihi 2,500 orang sehari tetapi kini beroperasi pada tahap 20% kapasiti sahaja.

Jika kadar pendaftaran vaksin yang rendah di daerah Batu Pahat telah menyumbang kepada kadar vaksinasi yang semakin menurun, kerajaan boleh mengambil langkah yang lebih proaktif dan menggerakkan lebih ramai petugas dan sukarelawan untuk menggalakkan orang ramai tampil ke hadapan untuk menerima suntikan vaksin.

Namun, setakat 20 Jun, 70.98% Bangsa Johor yang berkelayakan telah mendaftar tetapi hanya 13.91% daripada kalangan mereka telah divaksinasi (Sumber: JKJAV). Jurang antara dua statistik ini amat besar dan membimbangkan.

Sehubungan dengan itu, saya terkejut apabila dimaklumkan bahawa PPV di Dewan Orang Ramai Parit Raja kini ditutup sehingga 28 Jun. Tidak ada sebab untuk PPV ditutup apabila ramai yang belum menerima suntikan vaksin melainkan terdapatnya gangguan atau kekurangan pembekalan vaksin.

Insiden seperti ini amat mengecewakan kerana kerajaan telah gagal dalam memastikan kelancaran pelaksanaan program imunisasi.

Saya menyambut baik keputusan kerajaan untuk membuka lebih PPV malah melibatkan pihak swasta dalam program imunisasi. Tetapi, pembukaan PPV yang semakin banyak tanpa jumlah vaksin yang mencukupi umpama membazirkan usaha pasukan petugas barisan hadapan yang komited. Mereka tidak dapat menjalankan tugas kerana kegagalan kerajaan untuk membuat perancangan.

Menyahut saranan kerajaan untuk meningkatkan kadar pemvaksinan, sejak bulan Mac lagi, DAP Johor telah mengambil inisiatif untuk menjalankan kaunter bergerak mendaftar vaksin di seluruh negeri. Setelah ‘full lockdown’ dilaksanakan, kami terus berkhidmat menggunakan talian hotline dan WhatsApp. Kami faham betapa pentingnya bagi Bangsa Johor dan semua warga Malaysia untuk menerima vaksin supaya keselamatan seluruh masyarakat dijamin.

Ramai wakil rakyat DAP Johor juga telah melancarkan perkhidmatan pengangkutan percuma ke PPV bagi meringankan beban golongan yang memerlukan, terutamanya warga emas, OKU, ibu mengandung dan mereka di luar bandar supaya lebih ramai Bangsa Johor dapat divaksin.

DAP Johor membuat sedaya upaya untuk memastikan kejayaan program imunisasi dan usaha melawan Covid-19 yang lain. Walau bagaimanapun, tanpa pelan yang jelas dan komprehensif serta pelaksanaan secara telus dan lengkap dari pihak kerajaan, segala usaha yang dicurah oleh pihak kami, NGO, sukarelawan malah petugas barisan hadapan akan disia-siakan.

Sekali lagi, saya menggesa kerajaan bertindak dengan lebih cekap, mengikut pelan yang terperinci dan menyeluruh, supaya Malaysia dapat mencapai imuniti kelompok dalam masa yang terdekat. Ujian saringan secara besar-besaran, pengesanan kontak, kuarantin, dan pembekalan vaksin yang mencukupi merupakan langkah penting dalam perang melawan Covid-19. Kita tidak boleh membazirkan masa lagi.

Liew Chin Tong