Pembekal Rokok Seludup Ditahan di Seri Sulong BP

PGA RAMPAS ROKOK SELUDUP, TAHAN LELAKI

BATU PAHAT - Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam menyerbu sebuah premis dan menahan seorang lelaki di Jalan Sri Sulong Utama, Taman Perindustrian Parit Sulong di sini semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintenden Dimin Awang berkata, serbuan pada jam 11 pagi itu menemukan 53 karton rokok seludup pelbagai jenama yang tidak mempunyai cukai kastam.

"Turut ditahan seorang lelaki warga tempatan yang berumur 19 tahun dipercayai bertanggungjawab membekalkan rokok seludup di sekitar kawasan Parit Sulong.

"Suspek juga menjadikan premis tersebut sebagai tempat penyimpanan dan menjual rokok lari cukai," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Turut dirampas wang tunai RM540 serta sebuah telefon bimbit dan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM14,006.

Tangkapan dan barangan rampasan dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967.

Dimin meminta orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi jalan yang tidak diwartakan. -