Maut Tersepit spin Chiller di Kilang Proses Ayam Ayer Hitam
Pekerja proses ayam maut tersepit jentera
BATU PAHAT: Seorang pekerja maut selepas dilaporkan terjatuh ke dalam ruang jentera spin chiller di sebuah kilang memproses ayam di Ayer Hitam di sini, dalam kejadian pada pukul 9 pagi semalam.
Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor, Husdin Che Amat berkata, mangsa berusia 40 tahun itu maut dipercayai akibat tersepit pada jentera terbabit.
Susulan itu, ujar beliau, JKKP menghantar sepasukan pegawai penyiasat dan berdasarkan siasatan awal, mangsa yang merupakan pekerja am bagi kilang berkenaan ditugas menjalankan kerja pembersihan jentera kilang bersama dua lagi rakan sekerjanya.
“Tiada operasi pengeluaran (produk) dijalankan pada hari kejadian, namun ketika mangsa membersihkan jentera spin chiller berseorangan, dia terjatuh ke dalam ruang berkenaan dan dihimpit oleh screw conveyor spin chiller.
“Operasi jentera dimatikan oleh rakan sekerja selepas melihat kaki mangsa terkapai-kapai dari dalam jentera. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan kejadian itu, Husdin berkata, JKKP mengeluarkan notis larangan kepada majikan atas kegagalan untuk memastikan jentera spin chiller dikendalikan dengan selamat dan mengadakan sistem kerja selamat khususnya sistem Lockout / Tagout (LOTO) bagi kerja pembersihan jentera.