KKM Dedah 60 Kluster Perayaan Hari Raya dengan Kadar Positif 27%

Sebanyak 60 kluster perayaan hari raya kini dikesan seluruh negara bagi tempoh 13 Mei - 10 Jun 2021, yang berpunca daripada sambutan Hari Raya Aidilfitri (58 kluster) dan Hari Gawai (2 kluster).

Sebanyak 13,023 individu telah disaring dalam kluster ini, di mana terdapat 3,511 kes COVID-19 telah dikenalpasti seterusnya menjadikan kadar positif adalah sebanyak 27.0 peratus. Daripada jumlah 3,511 kes tersebut, 20 kematian telah dilaporkan. Sehingga kini 11 kes masih dalam rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Negeri-negeri yang mencatatkan bilangan kluster perayaan yang tertinggi adalah Sabah dengan 11 kluster (18.3 peratus), Sarawak dengan lapan (8) kluster (13.3 peratus), serta Kedah  dengan 7 kluster (11.7 peratus).

Menurut KKM, situasi peningkatan kes dan kematian yang dilaporkan bagi kluster perayaan ini dianggap serius dan membimbangkan. Lebih merisaukan kerana ia berlaku dalam tempoh masa yang singkat dan perayaan-perayaan ini berlaku dalam tempoh PKP! Ianya melambangkan sikap tidak acuh masyarakat. Sekiranya kita terus leka dan tidak mengambil iktibar serta pengajaran dari aktiviti kunjung-mengunjung dan rentas negeri semasa musim perayaan baru-baru ini, tidak mustahil peningkatan kes secara mendadak berterusan dan berulang lagi di negara kita apabila kelak terdapat perayaan lain. Adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk melindungi golongan rentan, khususnya ibu bapa yang uzur di kampung halaman dengan tidak mendedahkan mereka dengan jangkitan virus SARS-CoV-2 ini.