BPKINI

Kibar Bendera Putih Untuk Lampin Anak, Akhirnya Terima Bantuan

Malaysia Jul 2, 2021

PASIR MAS – Seorang ibu terpaksa membuat keputusan mengibarkan bendera putih selepas tidak mampu untuk membeli susu dan lampin pakai buang buat anak kembarnya yang berusia sembilan bulan sejak sebulan lalu.

Salmizan Yusof, 36, berkata, ekonomi keluarganya terumbang-ambing selepas suami, Faizal Sampritom, 35, diberhentikan kerja sebagai pembantu kedai.

Menurutnya, tindakan itu diambil selepas pemilik kedai tempat suaminya bekerja sudah tidak mampu menampung pertambahan kos sejak penularan jangkitan Covid-19.

“Suami terpaksa mencari ikhtiar dengan melakukan pelbagai pekerjaan termasuk menjual burger secara kecil-kecilan dengan melatakkan makanan itu di kedai berhampiran rumah.

“Kami memang tiada wang untuk membeli keperluan asas seperti lampin pakai buang dan susu untuk anak kembar. Akhirnya, saya mengibarkan bendera putih untuk meminta bantuan,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Gelang Mas di sini hari ini.

Menurut Salmizan, dia menaikkan bendera putih di hadapan rumah secara sembunyi-sembunyi pada malam kelmarin kerana malu dengan jiran-jiran.

Katanya, selepas bendera itu dinaikkan, jiran-jirannya datang menghulurkan bantuan pada pagi semalam.

“Alhamdulillah, penghulu kampung sudah menghulurkan bantuan kepada saya selepas gambar bendera di hadapan rumah tular di media sosial.

“Sejujurnya, saya berada dalam keadaan terdesak selepas suami hilang pekerjaan akibat Covid-19. Merumitkan lagi keadaan saya sudah tiga bulan tidak dapat melunaskan tunggakan sewa rumah,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan ke akaun Bank Islam 03027029618426 atas nama Salmizan Yusof. –

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tags

BPKINI