BPKINI

Ketua Perubatan Islam Sedunia Anggap Pelan Pemulihan Lengah Masa Sebelum Gelombang Baru Tiba

Malaysia Jun 16, 2021

Berikut merupakan pandangan Pengerusi lembaga penasihat Gabungan Persatuan Perubatan Islam Sedunia, Dr Musa Mohd Nordin.

Musa berkata pelan itu “bersifat rambang” dan tidak berasaskan “sains yang baik”.

  • ‌“(Ia) Tak akan meredakan pandemik, hanya melengahkan masa sebelum tercetus satu lagi gelombang Covid-19 apabila perintah kawalan pergerakan (PKP) dilonggarkan kelak,” katanya dalam satu rajutan Twitter.

Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelan pemulihan yang menggariskan kriteria harus dicapai untuk pelonggaran sekatan. Pelan itu terbahagi kepada empat fasa.

Buat masa sekarang, hanya perkhidmatan ekonomi penting yang dibenarkan beroperasi.

Bagaimanapun, kerajaan berharap dapat memasuki fasa 2 pada Julai, dengan sejumlah lagi sektor ekonomi akan dibenarkan beroperasi jika purata kes harian kurang daripada 4,000 kes.

Fasa 3 pula dijangka pada September dengan sektor sosial juga dijangka akan kembali dibuka, jika purata kes harian jatuh ke bawah angka 2,000 dan kadar vaksinasi mencecah 40 peratus.

Menjelang November, kerajaan menjangkakan pembukaan semula ekonomi secara penuh, jika purata jangkitan harian kurang daripada 500 kes dan kadar vaksinasi mencecah 60 peratus.

Musa berkata, pelan pemulihan untuk meredakan wabak memerlukan pendekatan tangkas untuk mencari, membuat, mengesan dan mengasingkan kes positif, serta usaha-usaha sokongan yang lain.

“Ini perkara asas untuk pengurusan pandemik Covid-19 yang berkesan dan cekap,” katanya.

Tambahnya, keputusan untuk pembukaan semula ekonomi haruslah berasaskan sains dan realistik.

Tags

BPKINI