Bayi 4 Bulan Cetus Kluster Baru Taman Midah

PUTRAJAYA: Seorang bayi lelaki berusia empat bulan mencetuskan kluster baharu dikenali sebagai Kluster Taman Midah yang sudah menjangkiti 12 individu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kluster berkenaan membabitkan kakitangan dan pelajar sebuah pusat pendidikan di Taman Midah, Cheras.

"Kes indeks bagi kluster ini adalah kes ke-642,699 iaitu bayi lelaki warganegara Malaysia berusia empat bulan.

"Dia mula bergejala pada 11 Jun lalu dan dilaporkan positif COVID-19 pada hari sama," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya sudah membuat saringan ke atas 38 individu yang juga kontak rapat dan daripada jumlah itu, 12 individu disahkan dijangkiti COVID-19.

Dr Noor Hisham berkata, Kluster Taman Midah adalah satu daripada 25 kluster baharu yang dikesan hari ini.