Artis Naim Daniel Sokong Solidariti Bendera Hitam PKP 3.0

PENYANYI dan pelakon, Naim Daniel antara selebriti menyahut sahutan gerakan mengibar bendera hitam yang didakwa sebagai tanda kemarahan rakyat terhadap kerajaan.

Menerusi hantaran di laman Instagram, Naim memberitahu tindakan mengibarkan bendera hitam adalah sebagai tanda solidariti untuk rakyat.

“Berharap agar Tuhan kasihan. Ini bukan apa kita mahukan. Pandang ke mataku dan bertahan. Bendera hitam ini tanda solidariti untuk rakyat,” tulisnya di hantaran itu hari ini.

Tidak habis di situ, juara Anugerah Juara Lagu ke-34 itu menerusi twitternya menyifatkan pihak masih bersangka baik dengan kerajaan yang didakwanya zalim, bertanggungjawab merosakkan negara.

“Kepada yang masih merasa selesa dan meminta bersangka baik dengan pemerintah yang zalim.

“Bertanggungjawab jugalah kalian dalam menjahanamkan tanah air sendiri,” ciapnya.

Sementara itu, pengguna media sosial menyifatkan tindakan pelantun lagu ‘Sumpah’ itu terlalu berani dan dikhuatiri menimbulkan perkara sebaliknya kepada kerjayanya.

Artis muda itu juga dinasihatkan menggunakan popularit kepada saluran yang betul dan membantu mengumpul sumbangan bagi pihak yang memerlukan.

Gerakan kibar bendera hitam dimulakan Media Sekretariat Solidariti Rakyat sebagai tanda kekecewaan rakyat dan memintanya di muatnaik di media sosial secara serentak pada jam 3 petang hari ini dengan menggunakan tanda pagar #Lawan.