7 Beranak Hidup ala Nomad Tinggal Dalam Kereta di Selama, Perak
Setelah keluar daripada rumah keluarga pada hari Khamis lalu, mereka tidak mampu menyewa, tujuh beranak terpaksa berhimpit tidur dalam kereta.
Ternyata bukan mudah apatah lagi mengenangkan anak-anak masih kecil dan terpaksa menumpang stesen minyak dan sungai untuk mandi serta bersihkan badan.
Tujuh Beranak Terpaksa Berhimpit Tidur Dalam Kereta
Tujuh beranak yang ditemui di Taman Mawar Lestari, Selama, Perak terpaksa menjalani kehidupan ala nomad dengan bermalam dan berhimpit dalam Proton Wira sepanjang tiga hari.
Saliza Samat, 38, serta suami, Mohd Hazrul Haris, 43, menjadikan kereta berkenaan sebagai tempat tinggal sementara bersama lima anak mereka berusia dua tahun hingga 15 tahun.
Saliza berkata, keadaan lebih sukar apabila Mohd Hazrul yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori tidak bekerja sejak dua tahun lalu berikutan kecacatan fizikal dan mental dialami manakala dia pula hanya suri rumah.
Hidup Berubah Selepas Berhijrah
Katanya, semuanya bermula apabila mereka sekeluarga yang sebelum ini menetap di Kuala Selangor, Selangor nekad berhijrah ke kampung halaman Mohd Hazrul di Ulu Mengkuang di sini, sejak setahun lalu.
“Namun kami kemudiannya keluar daripada rumah keluarga demi kebaikan semua.
“Kami keluar dari rumah itu Khamis lalu. Sejak itu, kami tujuh beranak bermalam dalam kereta selain menjadikan sungai serta stesen minyak sebagai lokasi untuk kami mandi, solat dan sebagainya,” katanya.