BPKINI

25 Bangunan di UTHM Dilengkapi Sistem Solar

Batu Pahat Jan 6, 2022

Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, GSPARX Sdn Bhd (GSPARX) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menjalinkan kerjasama pintar melalui pemasangan solar bumbung, penyelidikan dan latihan bersama Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) dalam bidang tenaga boleh baharu (RE), khususnya tenaga solar.

Ketua Pegawai Retail TNB, Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan berkta, TNB sedia menyumbang kepakaran dalam bidang tenaga solar menerusi GSPARX bagi membantu UTHM dalam penyelidikan dan latihan berkaitan sistem solar fotovoltaik.

"Bagi tujuan itu, GSPARX melaksanakan pemasangan sistem solar di UTHM Kampus Parit Raja membabitkan 25 bangunan termasuk laluan pejalan kaki dan parkir solar. Ia beroperasi sejak 12 November 2021 dan pemasangan ini tidak membabitkan modal kepada UTHM.                 ‌

"TNB sedia menyumbang kepakaran dalam bidang tenaga solar menerusi GSPARX bagi membantu UTHM dalam penyelidikan dan latihan berkaitan sistem solar fotovoltaik sementara mencapai aspirasi TNB untuk menjadi pembekal terunggul bagi solusi tenaga mampan di Malaysia dan antarabangsa," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Dr Wahid Razzaly berkata, setakat ini UTHM institut pengajian tinggi awam pertama yang mempunyai pemasangan solar bumbung bangunan terbesar di Malaysia.

"Projek solar bumbung bangunan di kampus induk UTHM membabitkan 25 bangunan terpilih dengan kapasiti 6.9MWp ini dijangka dapat menjimatkan RM25.7 juta bil elektrik universiti sepanjang tempoh perjanjian 21 tahun," katanya.

Kredit Harian Metro

Tags

BPKINI