BPKINI

14 Keluarga Pelakon Yana Shamsudin Positif Covid di Yong Peng, BP

Batu Pahat Aug 16, 2021

KUALA LUMPUR: Pelakon, Yana Samsudin, 36, berkongsi berita duka apabila semua anggota keluarga termasuk ibu bapa di Yong Peng, Johor, disahkan positif COVID-19.
Yana sedih mengenangkan tahap kesihatan bapa berusia 76 tahun yang tidak berapa bagus, biarpun ahli keluarga memaklumkan keadaan mereka baik-baik sahaja.
"Biarpun ibu bapa beritahu mereka reda dan baik-baik sahaja, saya risau kerana bapa ada sejarah paru-paru rosak dan buah pinggang tinggal satu.
"Apatah lagi, apabila saya telefon, saya dengar bapa batuk. Lebih membuatkan saya risau, kakak batuk berdarah. Semalam, salah seorang anak kakak yang berusia lima tahun, mula sakit dada dan sesak nafas.
"Sudahlah saya jauh dan tidak boleh merentas negeri, jadi agar sukar untuk menghulurkan bantuan.
"Bagaimanapun, saya cuba apa termampu seperti mencari 'runner' untuk menghantar barangan keperluan buat mereka," katanya kepada BH Online.
Yana berkata, semua anggota keluarganya melakukan kuarantin kendiri di rumah masing-masing.
Bertanya mengenai punca penularan virus itu dalam keluarga, Yana berkata, ibu bapanya dipercayai berjangkit daripada abang ipar yang membawa ibu mengambil suntikan vaksin di Batu Pahat pada 7 Ogos lalu.
"Disebabkan jauh di Batu Pahat, abang ipar membawa ibu ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV). Ketika itu, saya perasan abang ipar sudah tidak berapa sihat.
"Saya tidak sedap hati. Beberapa hari kemudian, saya telefon kakak kedua dan bertanya khabar. Kakak beritahu sakit tekak, namun, dia mengandaikan berpunca daripada memakan rambutan.
"Disebabkan risau, saya suruh abang ipar menjalankan ujian Rapid Test Kit Antigen (RTK-Antigen) dan keputusan diperoleh negatif.
"Masih tidak berpuas hati, saya suruh seluruh keluarga abang ipar mengambil ujian menggunakan Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR) yang memberi keputusan positif," katanya.
Anak Yana, Aisy Mateen bersama anak-anak saudara yang disahkan positif COVID-19. - Foto IG Yana Samsudin
Selepas itu, Yana berkata, keluarga kakak sulung pula mengambil ujian calitan dan keputusan yang diterima positif.
"Semalam, giliran ibu bapa pula buat ujian calitan dan masing-masing menunjukkan keputusan positif," katanya.
Yana menasihatkan orang ramai jika berasa tidak sihat, biarpun dengan gejala kecil, agar membuat ujian calitan selain mengurangkan pergerakan keluar rumah.
Terdahulu, Yana memuat naik hantaran di Instagram (IG) memaklumkan anggota keluarga termasuk ibu bapanya, disahkan positif COVID-19.
Yana sangat berharap ahli keluarga kembali pulih dan tidak putus berdoa.
"Saya cuba untuk bertenang tetapi hati risau. Sebelum ini, saya agresif dalam kumpulan WhatsApp keluarga. Saya banyak berkongsi berita kematian disebabkan COVID-19 dan menasihatkan mereka tidak keluar rumah.
"Sekarang, saya tidak tahu apa lagi yang mahu dikongsi. Saya tidak senang hati sejak beberapa hari lalu. Saya banyak berfikir mengenai mereka.
"Sudahlah adik saya meninggal dunia, macam-macam saya fikir. Apatah lagi, ibu mentua saya baru-baru ini terjatuh," katanya.
Cuba menenangkan diri, Yana percaya insan lain juga risau dengan perkembangan keluarga di kampung ketika penularan pandemik COVID-19 masih berleluasa.
"Bukan saya sahaja yang susah hati. Semua orang bertanya mengenai keadaan keluarga di kampung. Saya sentiasa mendoakan mereka lekas sembuh," katanya yang kali terakhir pulang ke Yong Peng, November tahun lalu.

Tags

BPKINI